Pernah menghidap strok bukan penghalang Raja Iskandar Raja Mansur, 52 untuk menolong warga orang kurang upaya (OKU), dalam menjana pendapatan dan mencari rezeki dalam bidang perniagaan.

Mempunyai bakat yang kreatif dalam bidang seni lukisan, Raja Iskandar Raja Mansur, menawarkan diri untuk melukis mural di sebuah kedai urut yang dikendalikan oleh mereka yang buta sebagai tanda terima kasih kerana membantu dalam proses memulihkan Raja Iskandar. Walaupun mengambil masa yang agak lama dari biasa untuk menyiapkan lukisan mural itu, beliau tidak berputus asa untuk menolong warga-warga OKU untuk meneruskan hidup mencari sumber pendapatan mereka.


Raja Iskandar juga banyak melakukan kerja kebajikan dan sukarelawan untuk memudahkan kehidupan seharian mereka. Antaranya, mengadakan jamuan berbuka puasa dan menaja pakaian raya untuk 15 orang kanak-kanak dari keluarga orang buta. Selain itu, pernah membawa 120 orang warga OKU ke Zoo Negara, menganjurkan pertandingan melukis untuk kanak-kanak bagi memperkasakan budaya seni dalam kalangan keluarga yang cacat penglihatan. Aktiviti kebajikan dan sukarelawan ini memberi kesan yang positif atas dirinya dalam usaha memulihkan dirinya daripada strok.
Menggunakan #amalbranding sebagai misinya untuk menolong dan memberi jalan kepada warga OKU dalam memantapkan sosio ekonomi mereka.
Norafiza Ibrahim dari Rembau, Negeri Sembilan yang lumpuh sejak berusia tujuh tahun, hidupnya hanya bergantung dengan kerusi roda. Hasil pertolongan Raja Iskandar dan team artattacking, Norafiza dapat mencari rezeki dengan menjual Chocolate Chip Cookies hasil air tangannya sendiri di kedai-kedai dan online.
Bukan sahaja membantu dari segi jualan dengan menggunakan platform Artattacking, malah Raja Iskandar membantu dalam packaging dan design yang sesuai sebelum dimasukkan ke pasaran.

Antara kuih-kuih yang dihasilkan oleh warga OKU adalah Imanzara chocolate chip cookies, tart royale, kuih kapal dan guli agong. Hasil jualan kuih-kuih ini akan dimasukkan ke tabung artattacking sebagai dana untuk membantu warga OKU. Kuih-kuih ini boleh anda dapatkan di kedai Food Market dan juga secara online di website https://foodmarket.com.my
